Select Page

Pada tahun 2024, Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) buat julung kalinya menganjurkan Majlis Amanat Ketua Pustakawan dan Penghargaan Staf di Dewan Senat, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru. Berbeza dengan kebiasaan, majlis tersebut tidak diadakan di bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah. Dengan bertemakan baju korporat UTM, majlis yang diadakan pada 8 Februari 2024 (Khamis) ini turut disiarkan secara langsung melalui aplikasi Cisco Webex untuk staf Perpustakaan Sultanah Zanariah, UTM Kuala Lumpur dan juga di Hub Pendidikan Tinggi Pagoh.

Puan Nor Asikin Mohamad, Ketua Pustakawan, JPUTM di dalam amanatnya menekankan hala tuju perpustakaan untuk tahun ini, di samping menerangkan kepada semua staf JPUTM berkaitan dengan Pelan Strategik enVision 2024 dan juga Pelan Tindakan JPUTM. Selain itu, Ketua Pustakawan turut memaklumkan mengenai cabaran-cabaran yang bakal dihadapi oleh pengurusan perpustakaan terkait perkhidmatan, penempatan staf dan sinergi di antara perpustakaan dan fakulti-fakulti berkenaan dengan khidmat rundingan penyelidikan di bawah kelolaan Knowledge Management Officer (KMO) yang telah ditugaskan di fakulti-fakulti tertentu. Dalam pada itu, beliau turut mengutarakan tentang staf sokongan yang telah dinaikkan pangkat di mana mereka perlu bersedia untuk meningkatkan pengetahuan dalam bidang tugas mereka dan kemahiran-kemahiran spesifik seperti penggunaan komputer, kecerdasan buatan (artificial intelligence) dan sebagainya.

Di akhir amanat, Ketua Pustakawan menzahirkan harapannya untuk melihat JPUTM untuk kekal cemerlang dari segi perkhidmatan dan kualiti kerja di samping dapat bekerjasama erat dengan pihak pengurusan perpustakaan dalam memastikan segala visi dan misi perpustakaan itu sendiri dapat dicapai meskipun terdapat pelbagai halangan dan cabaran yang mendatang.

Seterusnya, majlis amanat ini diteruskan dengan sesi penghargaan staf JPUTM yang telah dan akan bersara pada tahun 2024 di samping staf yang telah berpindah atas arahan pengurusan UTM serta menamatkan perkhidmatan di JPUTM.

Staf-staf yang diraikan adalah seperti berikut :

Kesemua staf yang telah dan bakal bersara telah dijemput untuk memberikan sedikit ucapan perpisahan di samping menceritakan pengalaman dan kenangan manis sepanjang berkhidmat di JPUTM.

Seterusnya, majlis diteruskan lagi dengan sesi penyampaian cenderahati oleh JPUTM dan juga Kelab Keluarga dan Staf Perpustakaan UTM (KKSPUTM) kepada kesemua staf yang diraikan sebelum ditamatkan dengan nyanyian lagu Keunggulan Terbilang.

Diharapkan dengan penyampaian amanat oleh Ketua Pustakawan Perpustakaan UTM, warga JPUTM akan lebih terinspirasi dalam mencari semangat kebersamaan dan kesungguhan untuk mencapai segala sasaran yang telah ditetapkan oleh pengurusan perpustakaan di samping mempertingkatkan kompetensi serta disiplin masing-masing dalam menghadapi tahun 2024 ini.